Sujud sahwi menampung `kekurangan, kecacatan' sembahyang
Bersama Dr. Amran Kasimin
SOALAN:
Suatu ketika, semasa sembahyang zuhur di surau, di tempat kediaman kami, imam telah lupa dan tertinggal tahiyat awal atau tasyahud awal. Dia terus berdiri untuk melakukan rakaat ketiga, biarpun diperingatkan oleh makmum.
Suatu ketika, semasa sembahyang zuhur di surau, di tempat kediaman kami, imam telah lupa dan tertinggal tahiyat awal atau tasyahud awal. Dia terus berdiri untuk melakukan rakaat ketiga, biarpun diperingatkan oleh makmum.
Suasana menjadi sedikit gawat ketika itu, tetapi akhirnya semua makmum, lebih kurang 20 orang bangun ikut imam. Sebelum memberi salam, imam melakukan sujud seperti biasa, kemudian baru memberi salam. Saya tidak pasti, adakah sujud ini sebagai pengganti tahiyat awal yang ditinggalkan tadi? Adakah sujud ini boleh dilakukan untuk mengganti perbuatan lain yang tertinggal dalam sembahyang? Saya hendak bertanya kepada imam, tetapi rasa malu. Terima kasih. - Salamin Salam, Rawang.
JAWAPAN:
Sujud yang dilakukan oleh imam itu dinamakan ``sujud sahwi''. Sahwi bererti lupa atau lalai terhadap sesuatu. Sujud sahwi dilakukan untuk menampung kekurangan atau kecacatan yang berlaku, sama ada dengan sengaja atau terlupa.
Sujud yang dilakukan oleh imam itu dinamakan ``sujud sahwi''. Sahwi bererti lupa atau lalai terhadap sesuatu. Sujud sahwi dilakukan untuk menampung kekurangan atau kecacatan yang berlaku, sama ada dengan sengaja atau terlupa.
Sujud ini sunat hukumnya. Sekiranya ia tidak dilakukan, sembahyang yang dilakukan tidak terbatal. Dalam sebuah hadis riwayat oleh al-Bukhari daripada Abu Hurairah bahawa dia berkata, nabi telah melakukan sembahyang zuhur atau asar bersama kami. Tiba-tiba baginda memberi salam setelah melakukan sembahyang dua rakaat. Zul Yadain bertanya kepada baginda sama ada sembahyang yang dilakukan itu telah dikasarkan (dipendekkan), atau terjadi demikian kerana baginda lupa. Rasulullah menjawab menyatakan sembahyang tersebut tidak dipendekkan atau terlupa. Baginda berpaling kepada sahabat yang lain sambil bertanya, adakah apa yang dikatakan oleh Zul Yadain itu benar. Sahabat-sahabat menyatakan benar. Mendengarkan jawapan itu baginda pun teringat apa yang sebenarnya berlaku, lalu baginda berdiri menghadap kiblat menyambung sembahyang dua rakaat yang baki dan sujud sahwi di akhir sembahyang sebelum memberi salam.
Ada tiga perkara penting ketika seseorang itu mendirikan sembahyang, iaitu perbuatan yang melibatkan
(i) rukun, (ii) sunat ab'ad dan (iii) sunat haiah.
Rukun sembahyang ialah niat, berdiri takbiratulihram, membaca al-Fatihah, rukuk, iktidal dengan tamakninah, sujud dua kali sujud dengan tamakninah, duduk antara dua sujud dengan tamakninah, membaca tahiyat awal dan tasyahud akhir, membaca selawat ke atas nabi pada tasyahud akhir, duduk bagi tasyahud akhir, memberi salam dan yang akhir sekali ialah tertib.
Rukun sembahyang seperti yang dijelas, sekiranya seseorang itu tertinggal dengan lupa, tidak boleh di ganti dengan sujud sahwi, malah sekiranya seseorang itu teringat ketika sedang dalam sembahyang, maka wajib baginya membuat apa yang tertinggal itu dengan segera, dari situ ia wajib menyambung sembahyangnya sehingga tamat rakaat sembahyang. Kemudian sunat melakukan sujud sahwi sebelum salam kerana perbuatannya telah bertambah.
Sekiranya seseorang itu teringat sesudah memberi salam, iaitu dalam tempoh yang tidak lama, sekira-kira setengah minit, dia hendaklah berdiri menghadap kiblat semula, sembahyang mengerjakan apa yang tertinggal lalu meneruskan perbuatan sembahyang seterusnya hingga tamat sembahyang, kemudian sunat baginya melakukan sujud sahwi. Sekiranya jarak selepas memberi salam telah lama, baru dia teringat, atau telah terpijak najis misalnya, dia tidak boleh menyambung sembahyangnya seperti yang dijelaskan. Dia hendaklah sembahyang semula.
Sunat haiah di antaranya ialah mengangkat tangan masa mula-mula melakukan takbiratulihram, membaca doa iftitah, membaca auzubillah, menyaringkan suara ketika membaca al-Fatihah dan surah ketika sembahyang subuh, dua rakaat yang pertama sembahyang maghrib, isyak, sembahyang Jumaat, sembahyang minta hujan, sembahyang tarawih, dua rakaat sembahyang sunat tawaf yang dilakukan di waktu malam atau waktu subuh, menyebut amin setelah tamat membaca al-Fatihah, mengucap takbiratul `I-lntiqalat yang lima, iaitu takbir rukuk, takbir sujud, takbir bangkit daripadanya, takbir sujud yang kedua dan takbir bangkit daripadanya kepada kiam. Selain daripada itu mengangkat kedua-dua tangan sama seperti melakukan takbiratulihram ketika hendak rukuk, bangkit kepada iktidal serentak dengan mengangkat kepala dan tatkala bangkit kepada kiam daripada melakukan tasyahud awal.
Membaca samiallahulimanhamidah ketika angkat kepala daripada rukuk dan membaca rabbana laka'i-hamd apabila sudah berdiri betul. Begitu juga dengan lain-lain bacaan ketika rukuk sekurang-kurangnya sekali. Yang seeloknya dilakukan sebanyak tiga kali. Yang lebih utama, sekiranya sembahyang seorang diri bacaan ini dibaca hingga 11 kali. Bagi jemaah yang mempunyai makmum sedikit dan mereka bersetuju bacaan ini dibaca lebih daripada tiga kali, sama ada lima, tujuh, sembilan kali, tetapi jangan lebih daripada 11 kali.
Termasuk dalam sunah haida ialah bacaan ketika sujud yang dilakukan sekurang-kurangnya sekali. Kekerapan bacaan sama seperti keterangan ketika rukuk tadi. Meletakkan dua tapak tangan di atas kedua-dua paha ketika duduk membaca tasyahud awal dan tasyahud akhir dengan menyamakan hujung-hujung jari dengan kepala lutut juga termasuk dalam sunat haiah.
Jari-jari tangan kiri diluruskan, manakala jari-jari tangan kanan digenggamkan, kecuali jari telunjuk diluruskan dan diangkat ketika menyebut illallah.
Makruh menggerakkan telunjuk ketika ini.
Termasuk dalam amalan sunat haiah ialah duduk iftirasy ketika tasyahud awal, pada duduk antara dua sujud, duduk istirahah dan duduk tawaruk pada tasyahud akhir. Memberi salam kedua sambil berpaling ke kanan ketika memberi salam yang pertama dan berpaling ke kiri ketika memberi salam kedua juga termasuk dalam sunat haiah. Amalan sunat haiah ini, sekiranya ditinggalkan tidak dituntut untuk diulangi dan tidak pula dituntut ditampal atau diganti dengan sujud sahwi.
Sunat ab'ad ada tujuh iaitu membaca tasyahud awal, selawat ke atas nabi kemudian daripada tasyahud awal, selawat ke atas keluarga nabi setelah kemudian daripada tasyahud akhir, duduk untuk ketiga-tiga bacaan yang dijelaskan, membaca qunut pada rakaat yang kedua sembahyang subuh dan rakaat akhir sembahyang witir malam 16 Ramadan hingga akhir bulan Ramadan, selawat dan salam ke atas nabi juga keluarga kemudian daripadanya dan akhir berdiri untuk dua bacaan ini.
Orang yang sembahyang meninggalkan salah satu daripada sunat ab'ad, seperti meninggalkan qunut sunat melakukan sujud sahwi. Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan hadis daripada Abdullah bin Buhairah bahawa dia berkata: Kami telah sembahyang bersama Rasulullah. Pada rakaat kedua ketika sedang sembahyang, baginda terus berdiri dan tidak duduk, lalu orang ramai berdiri bersama-sama baginda, (dalam satu riwayat lain dinyatakan bahawa baginda bangun ketika rakaat kedua sembahyang zuhur). Apabila hampir selesai sembahyangnya, kami menunggu-nunggu salamnya, tiba-tiba baginda bertakbir sebelum memberi salam untuk sujud dengan dua kali sujud, kemudian baru baginda memberi salam. Ibnu Majah dan Abu Daud dan lain-lainnya meriwayatkan hadis daripada al-Mughirah bin Syu'bah dia berkata, Rasulullah ada bersabda menyatakan: Apabila seseorang daripada kamu bangun dari rakaat kedua, sedangkan dia masih belum berdiri dengan sempurna, maka hendaklah dia duduk kembali, iaitu untuk membaca tasyahud awal. Dan apabila dia telah berdiri dengan sempurna, maka janganlah duduk dan hendaklah sujud sahwi dengan dua kali sujud.
Selain daripada sebab-sebab yang dijelaskan, sujud sahwi juga sunat dilakukan apabila berlaku keraguan pada bilangan rakaat yang telah dilakukan. Ketika ini orang yang terlibat hendaklah mengambil kira bilangan yang sedikit dan menyempurnakan rakaat yang masih berbaki kemudian melakukan sujud sahwi. Ia sunat dilakukan sebagai tampungan, kerana berkemungkinan dia telah menambah bilangan. Imam Muslim meriwayatkan hadis daripada Abi Said bahawa dia berkata, Rasulullah bersabda: Apabila salah seorang daripada kamu berasa ragu terhadap rakaat sembahyangnya dan dia tidak mengetahui berapa rakaat telah dilakukan, tiga atau empat, maka dia hendaklah menghilangkan rasa ragunya dan dia hendaklah mengambil apa yang diyakini, iaitu memilih tiga rakaat kerana itu yang diyakini, kemudian sujud dengan dua kali sujud sebelum memberi salam.
Sekiranya dia bersembahyang lima rakaat maka rakaat tambahan itu menjadikan sembahyangnya genap untuknya. Sekiranya sembahyangnya cukup empat rakaat, maka sujudnya itu adalah tekanan dan penghinaan kepada syaitan.
Selain daripada itu, sujud sahwi sunat dilakukan apabila seseorang itu melakukan perbuatan yang dilarang kerana terlupa di mana perbuatan tersebut akan membatalkan sembahyangnya sekiranya dilakukan dengan sengaja. Contohnya seperti bercakap beberapa kalimah atau menambah satu rakaat dalam keadaan terlupa, kemudian dia teringat kembali ketika masih dalam sembahyang maka dia hendaklah sujud sahwi.
Sujud sahwi adalah dua kali sujud seperti sujud-sujud lain. Orang yang bersembahyang hendaklah berniat melakukan sujud sahwi ketika melakukannya. Masanya ialah di akhir sembahyang sebelum salam. Sekiranya seseorang itu memberi salam sebelum sujud, sama ada dengan sengaja atau terlupa dan tempoh pemisah antara memberi salam dan selepasnya itu lama, maka luputlah tuntutan sujud sahwi daripadanya. Sekiranya tempoh pemisah itu pendek, maka seseorang itu boleh melakukan semula sujud tersebut dengan dua kali sujud, sambil berniat melakukan sujud sahwi, kemudian memberi salam buat kali kedua.
Mingguan Malaysia 21/3/04
Tidak ada komentar:
Posting Komentar